Bunyi bising khemah ditiup angin kencang membingitkan telinga. Sudah beberapa jam aku baring memejamkan mata tetapi tidak dapat lelap. Otak aku menerawang memikirkan keadaan cuaca yang kurang baik, runsing dengan perjalanan yang bakal aku tempoh malam nanti. Disamping perasaan berdebar, takut, teruja, letih, sukar bernafas, tidak berselera makan dan segala ketidak-selesaan semuanya bercampur baur. Kadangkala berfikir adakah ajal aku berakhir di sini, bagaimana anak-anak dan isteri aku, mak dan baba.

Bertambah buruk dengan bunyi hingar bingar angin bertiup kuat seolah-olah semuanya kelam kabut dan tidak terkawal. Rakan sekhemah, Faiz, aku lihat seperti enak dibuai mimpi tiba-tiba bingkas bangun, rupa-rupanya dia juga sebenarnya tidak dapat tidur sejak mula kami tiba di South Col di ketinggian 8,016 meter dari paras laut pada petang tadi. Masing-masing berlakon tidur cuba menenangkan diri supaya tidak panik menjelang pendakian ke puncak yang dijadualkan pada jam 11 malam.

Sekali sekala aku meneguk air panas yang siap di dalam thermos, aku perlu minum dengan banyak supaya bertenaga semasa pendakian nanti. Bosan dengan mata tertutup tanpa lelap, sering juga aku mengunyah coklat keras yang sudah beberapa hari disimpan di kocek jaket, juga supaya aku mempunyai tenaga pada pendakian nanti. Segala pergerakan, tertumpu kepada apa yang bakal berlaku nanti.

Aku cuba menegakkan tulang belakang yang terasa sedikit sengal setelah beberapa minggu menggalas beg naik dan turun di antara kem pendakian. Fikiran aku tetap kacau bilau tidak karuan menunggu saat bermulanya kemuncak ekspedisi yang sudah mengambil masa lebih 5 minggu sejak aku meninggalkan tanah air.

Tiba-tiba aku terjaga dan bingkas bangun. Suasana senyap sepi, hanya kedengaran bunyi nafas kuat yang keluar dari topeng oksigen yang sentiasa terpakai. Segera aku beristigfar, bingung apa yang berlaku. Segala hingar bingar kelam kabut hilang serta merta. Baru aku tahu rupanya aku telah terlelap. Tidak pasti berapa lama aku dapat tidur, tetapi tengkuk aku sedikit sengal dan pening kepala yang ringan. Terasa seperti jika tidur terlalu lama. Aku agak bingung. Faiz masih enak tidur.

Aku terdengar suara orang bercakap-cakap diluar khemah, mungkin Sherpa. Aku menyelak lengan jaket untuk melihat jam, rupanya sudah jam 9.45 malam. Aku perlu bersiap untuk keluar khemah. Tanpa membuang masa aku mengejut Faiz supaya bangun dan aku terus bertayamum untuk menunaikan solat Isyak. Tidak ketinggalan solat sunat hajat yang kami lakukan setiap malam sejak bermula ekspedisi ini. Alhamdulillah, doa kami dimakbulkan Allah. Inilah saat yang ditunggu-tunggu dalam setiap doa kami, kami memohon agar diberikan kekuatan, semangat yang tinggi, keselamatan dan cuaca yang baik untuk menjejak kemuncak dunia yang akan bermula sebentar lagi.

Alhamdulillah, cuaca kelihatan baik kerana hingar bingar angin kencang tidak lagi kedengaran, ia seolah-olah lenyap begitu sahaja, sunyi sepi. Alhamdulillah setakat ini aku masih kuat dan mampu meneruskan perjalanan dan insyaAllah diberikan keselamatan hingga segalanya berakhir. Syukur kepada Mu Ya Allah atas rezeki ini, kurniakan rezeki kami seterusnya nanti di puncak sana.

Bersambung