Melepasi South Summit kini Hillary Step, dinding batu yang seringkali aku bayangkan sebelum ini. Dari pelbagai sumber bacaan di internet, penerangan dari pendaki semasa sesi taklimat, video di You Tube, Hillary Step seringkali menjadi ujian terbesar buat pendaki. Kini ia terpampang di depan mata sendiri. Sementara menunggu giliran pendaki lain melepasi dinding ini, aku berehat cuba menarik nafas panjang.

Hampir 20 minit menunggu kini giliran aku mendaki Hillary Step. Dengan berhati-hati, setiap pergerakan aku pastikan semua peralatan keselamatan dipasang dengan betul. Silap langkah, memang maut menanti, beberapa ratus meter jauh disebelah kiri adalah dasar kepada ceruman itu.

Setiap satu pergerakan diselangi nafas keras aku ulang hingga tiba di atas. Kini aku yakin akan berjaya ke puncak. Maklumat dari sumber bacaan mengatakan, jika pendaki sudah melepasi Hillary Step, hanya akan memakan masa beberapa minit untuk ke puncak.

Namun ia tidak semudah yang disangka. Sejurus aku mahu memulakan langkah setelah berehat, aku seperti melayang-layang. Aku terasa pengalaman semasa mendaki Gunung Kilimanjaro berulang kembali. Rasa mengantuk yang amat menyebabkan aku tidak berdaya untuk melangkah. Aku belajar dari pengalaman, tidak sesekali aku akan melelapkan mata.

Jika aku gagal untuk kekal sedar, tidur yang mungkin hanya beberapa minit boleh menyebabkan tidur buat selama-lamanya. Terdapat banyak kes pendaki yang mati semasa tidur di altitude tinggi. Aku pernah merasai saat itu semasa di puncak Kilimanjaro dan aku pastikan ia tidak berulang. Aku terbayang mayat pendaki yang baru sahaja aku lewati.

Ini adalah saat paling getir dalam hidup aku dan aku cuba menghadapinya dengan tenang. Aku mengarahkan Sherpa untuk melaraskan kadar oksigen yang digunakan, ia membantu aku untuk kembali bertenaga.

Aku berehat semula setelah hanya lima langkah, kunyah beberapa biji kurma dan sedikit air dengan harapan aku mampu meneruskan perjalanan yang sepatutnya hanya beberapa minit. Malangnya aku semakin tidak berdaya. Pemba cuba memberikan kata-kata semangat, seolah-olah memaksa aku untuk meneruskan perjalanan.

Aku terbayang wajah Hazeeq, anak sulung aku, kebetahan Haikal anak kedua ku dan Yaya dan Khadijah si kecil yang sangat manja, Syu isteriku yang tersayang yang sentiasa memberikan dorongan. Tidak! Tidak! Aku tak mahu menghampakan mereka. Memang setiap pendakian, aku mendapat sokongan terbaik dari Syu. Kebetulan kami mempunyai minat yang sama juga pertama kali berkenalan pun semasa ekspidisi satu ketika dulu.

Tidak pernah sekali pun Syu membantah jika aku ada rancangan untuk mendaki kemana sahaja. Dia sentiasa bersedia menguruskan anak-anak sepanjang ketiadaan aku tanpa sebarang rungutan. Mak, baba, anak dan isteri sentiasa membayangi setiap pendakian aku dan semangat ingin kembali dengan selamat bertemu mereka memberikan kekuatan mental dan fizikal untuk meneruskan perjalanan walaupun keletihan yang amat sangat.

Aku gagahkan untuk melangkah, 1..2..3..berhenti. 1..2..3..4…aku menarik nafas panjang. Aku ulang lagi hingga beberapa puluh meter hingga kelibat beberapa orang pendaki yang berada di puncak jelas kelihatan. Dua orang pendaki melewati aku untuk turun, mereka mengucapkan tahniah kepada aku walaupun ia masih berbaki beberapa meter lagi.

Aku tidak mampu untuk mengambil gambar, aku serahkan kamera kepada Pemba untuk merakamkan saat bersejarah beberapa meter sebelum aku menjejakkan kaki di puncak dunia. Sepuluh langkah terakhir itu tidak mungkin aku lupakan sepanjang hidup aku.

Ya Allah, begitu besar ciptaanMu, Ya Allah, Engkau yang Maha Berkuasa, Maha Hebat, Maha Mengetahui, Ampunilah dosaku Ya Allah. Gunung ini adalah makhluk ciptaanMu Ya Allah, Aku ini sangat kerdil Ya Allah, seluruh tenaga dan kudrat aku gagahkan hanya untuk mendaki satu makhluk yang kamu cipta, makhluk bernama Gunung Everest yang dikatakan begitu hebat rintangannya.

Ya Allah, ini hanyalah makhlukMu, betapa besarnya kuasa Mu Ya Allah. Betapa Agungnya Kamu Ya Allah. Mana mungkin aku yang kerdil ini, untuk melawan rintangan gunung ini pun hampir seluruh nyawa aku serahkan, mana mungkin aku mampu untuk melawan perintah Mu Ya Allah. Mana mungkin aku sombong kepada Mu Ya Allah.

Tiada kata-kata yang mampu aku katakan untuk menyatakan betapa Besar Kuasa Mu Yaaaa Allah. Linangan air mata tidak berhenti saat aku meraikan kejayaan, namun tidak sekali aku berasa hebat berdiri di sini. Di sana lebih hebat kuasa Mu Ya Allah, aku hanya insan kerdil Ya Allah….

Bersambung.