Aku bergegas keluar dari khemah. Segala bekalan telah aku siapkan sedari petang semalam. Bekalan air, makanan, bendera, kamera, snow goggle, sarung tangan, peralatan keselamatan segalanya aku periksa sekian kalinya. Lebih sejam aku bersiap dan terakhir memakai crampon untuk keluar dari khemah.
Bukan mudah untuk bersiap dalam keadaan begini. Setiap pergerakan aku sangat perlahan dek kesukaran bernafas. Untuk menyarung kasut pun kadang kala memerlukan masa 10-15 minit. Terasa dada ini terlalu berat untuk menarik nafas untuk melakukan sesuatu. Kumpulan kami berkumpul seketika mendengar amanat akhir Sherpa dan membaca doa. Aku memulakan langkah bersama Pemba Sherpa yang ditugaskan mengiringi aku. Hati ini berdebar namun tetap focus kepada setiap langkah dengan nafas yang sangat berat.
Cuaca ketika itu sangat indah dengan samar-samar cahaya bulan yang tidak pernah kami alami pada malam-malam sebelumnya. Seolah-olah Allah membentangkan jalan buat kami.
Perjalanan yang mulanya sedikit menaik semakin curam mungkin sekitar 30 darjah. Bunyi derapan crampon menerjah salji separa keras seperti mengunyah keropok yang rangup. Satu langkah diiringi langkah berikut, setiap langkah mengambil beberapa saat dan berhenti beberapa minit untuk beberapa langkah lagi sambil tangan memegang jumar untuk menarik badan, ia adalah peralatan pendakian untuk keselamatan disamping bantuan untuk memudahkan pendakian.
Setiap sekitar 20 meter aku akan berhenti untuk melaraskan jumar ke tali yang berikutnya. Dengan suhu antara -20 hingga -30 celsius proses ini berulang hingga tiba kawasan dikenali sebagai The Balcony. Laluan semakin curam selang seli dengan batuan dan salji, aku menguatkan semangat meneruskan langkah biar pun sekadar 3-4 langkah dan berhenti berehat beberapa minit.
Dari arah Tibet kelihatan fajar mula melihatkan diri. Sementara berehat aku menunaikan solat subuh dikawasan sedikit rata cukup untuk sujud mengharap bantuan dari Allah. Saat ini, pergerakan yang sedikit untuk solat pun memerlukan banyak tenaga kerana sukar bernafas. Di hadapan ialah South Summit.
Strategi aku ialah untuk mendaki dari satu checkpoint ke checkpoint berikut tanpa terlalu memikirkan puncak. Tiba-tiba aku telihat satu objek berwarna kuning di tepi laluan. Setelah aku amati, aku pasti itu adalah mayat pendaki. Hati ini berdebar memikirkan nasib aku. Mungkinkah nasib aku seperti itu.
Aku cuba tidak melihat mukanya walaupun mayat itu kelihatan terbaring dan mukanya menghadap ke kanan. Akan tetapi aku perlu melangkah mayat tersebut untuk meneruskan pendakian. Arghhhh..bagaikan mimpi ngeri, di saat aku sendiri bertarung nyawa langkah demi langkah, semangat ini bagaikan gugur melihat mayat yang aku bayangkan seperti diri sendiri.
Mayat itu kelihatan baru, mungkin baru semalam atau hari sebelumnya, raut wajahnya menampakkan kematian yang sukar.
Ya Allah, Allahuakbar, Astagfirullah, aku ulang-ulang zikir kalimah tayyibah memuji Allah untuk meredakan perasaan takut, pun sukar diselang seli dengan nafas yang bagaikan kuda lumba.
Ya Allah, permudahkanlah perjalananku ini.
Bersambung