COP26 di Glasgow baru sahaja berakhir. Malaysia menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah dan Ikrar Metana Global.
Persoalanya, adakah pemimpin Malaysia benar-benar serius dengan isu global ini? Saban tahun perbagai pemimpin mengeluarkan kenyataan berkenaan Pemanasan Global dan Tebus Guna Hutan. Tapi adakah ia benar-benar dilaksanakan?
Sebagai pendaki dan salah seorang yang banyak menghabiskan masa di dalam hutan, saya menyaksikan sendiri bagaimana hutan kita dijarah dengan rakus.
Sebagai bukti, saya bandingkan jalur denai hutan untuk mendaki semasa 20 tahun lepas berbanding sekarang. Contohnya, satu masa dulu untuk mendaki ke puncak sebuah gunung di Kelantan memerlukan masa sekurang-kurangnya 5 hari. Sekarang? kita boleh ke puncak yang sama NAIK dan TURUN semula dalam tempoh kurang 15 jam!
Ini baru satu contoh. Banyak lagi denai hutan yang semakin pendek. Apakah petandanya?

Saya sendiri menyaksikan bagaimana dulu trek/denai hutan kini hilang diganti dengan jalan untuk lori balak. Saya sendiri saksikan bagaimana hutan yang menjadi tanah adat orang asli dirampas digantikan dengan ladang sawit dan durian. Dalam tempoh singkat hutan kita mengecil dan sudah tentu memberikan kesan besar kepada eko sistem semulajadi termasuk haiwan liar. Tidak hairan kenapa sekarang tular video harimau belang di tepi jalan, harimau masuk kampung dan sebagainya.
Jadi, dimana perlaksanaan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan? Malah kerajaan telah menandatangani pelbagai Deklarasi peringkat antarabangsa mengenai hal ini. Tidak hairan kenapa sesetengah negara eropah memboikot minyak kelapa sawit negara kerana isu “deforestation” yang seolah-olah tiada penghujung. Saban tahun pemimpin bertukar ganti, kuasa perlaksanaan undang-undang berganti tangan, begitu juga nafsu mengumpulkan wang ringgit diwarisi kepada setiap yang berkuasa.
Saya ingin tegaskan, pemimpin Malaysia mesti serius dalam melaksanakan apa yang war-warkan. Bukan sekadar omong kosong untuk memenangi hati rakyat. Kita seharusnya mewariskan hutan yang lebih lestari kepada generasi akan datang dengan jantung hati.
Serahkan semula hutan kepada pemiliknya
Kami sebagai pendaki yang sangat mencintai alam semulajadi berikrar akan menjaga laman permainan kami ini.