Kami pendaki, pelari denai (trail runner) dan atlet amatur perlukan tempat bermain untuk Malaysia berkembang lebih jauh, megah di mata dunia

.

Malaysia mempunyai satu tapak latihan yang terbaik untuk pelari denai dan pendaki altitud tinggi iaitu Gunung Kinabalu yang berketinggian 4095 meter. Jika di bandingkan dengan Jepun, puncak tertinggi  ialah Gunung Fuji 3776 meter, Korea ialah Gunung Hallasan 1947 meter, Taiwan ialah Gunung Yusyan 3952 meter. Tapi pelari denai dan pendaki dari negara ini telah jauh meninggalkan Malaysia dari segi kejayaan dalam pelbagai acara seluruh dunia dan juga menakluk puncak tertinggi seperti Everest dan puncak dunia lain. Ini kerana gunung-gunung di negara ini lebih terbuka dan para atlet mudah melakukan aktiviti latihan. Atlet mereka mempunyai ruang  permainan yang membolehkan mereka berkembang lebih jauh dan hebat. Begitu juga di sebahagian negara eropah. Kebanyakan gunung di pergunungan Alps ialah berketinggian antara 2000-4000 meter. Tapi ramai rakyat mereka menjadi atlit pelari denai dan pendaki professional kerana mereka mempunyai banyak ruang terbuka untuk mencari pengalaman dan Latihan.

 

Solusi:

  • Kami cadangkan agar Gunung Kinabalu dibenarkan menjadi tempat latihan kepada atlet pelari denai (trail runner) dan pendaki yang ingin ke peringkat lebih tinggi.
  • Caranya ialah agar atlet yang ingin berlatih dibenarkan untuk mendaki dari Timpohon hingga ke puncak Kinabalu dalam satu hari dan dibenarkan mendaki 2-3 kali dalam satu hari
  • Demi memastikan keselamatan dan proses penyesuaian altitude tinggi, atlet berkenaan mesti mendaki mengikut program biasa dan turun semula ke Timpohon gate ( 2hari 1 malam), dan baru dibenarkan mendapat permit khas mendaki terus ke puncak untuk latihan.
  • Kami juga cadangkan agar permit khas ini terbuka secara adil kepada mana-mana atlet samaada atlet biasa yang bergerak secara individu (self sponsored) atau atlet di bawah pengurusan badan kerajaan/kelab.

 

 

Sinopsis

Dalam artikel ini, saya nyatakan satu solusi terlebih dahulu seperti di atas. Saya akan jelaskan maksud solusi ini seperti berikut:

 

  • Saya masih ingat pada tahun 2007, mula-mula saya menyertai AmBank KL Marathon, pada masa itu pelari marathon lebih kurang 6-7000 orang. Hampir tidak pernah kami dengar ultra marathon iaitu larian 50km, 80km dan seterusnya. Atau mungkin saya yang tidak terdedah dengan sukan ini. Begitu juga pendaki Malaysia yang mendaki gunung melebihi 6000meter, mungkin boleh dikira dengan jari.

 

  • Tujuh belas tahun kemudian di 2024, rakyat Malaysia semakin jauh dalam sukan larian marathon, ultra-marathon, trail run, ultra-trail run dan pendakian.

 

  • Sebagai contoh, ramai rakyat Malaysia kini bersaing dalam acara  Ultra-Trail du Mont-Blanc (UTMB) iaitu acara larian trail peringkat dunia di Perancis dengan jarak larian 100km hingga 300km. Banyak lagi acara lain peringkat dunia seperti Tor Des Geants 330km, begitu juga yang pendaki Malaysia yang ingin mendaki gunung 6000-8000 meter termasuk Everest. Selain itu salah seorang pelari tower run terkemuka dunia adalah rakyat Malaysia iaitu Soh Wai Ching

 

  • Ini menunjukkan orang Malaysia sudah semakin maju kehadapan membawa nama negara ke seluruh dunia. Di sebalik kejayaan ini, secara keseluruhan semakin ramai rakyat Malaysia terlibat dalam aktiviti sihat dan semakin cergas. Ini terbukti apabila purata jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat iaitu 76.58 tahun berbanding 10 tahun dahulu. Jika dilihat secara luas, rakyat yang semakin sihat dan cergas dapat meningkatkan produktiviti negara dan mengurangkan kos perubatan yang ditanggung kerajaan. Dengan perkembangan sukan larian dan acara lain, ia juga meningkatkan ekonomi negara dari segi pelancongan domestik dan pelbagai perniagaan muncul untuk menyokong aktiviti ini

 

  • Oleh yang demikian, pihak yang berkuasa harus melihat manfaat kepada rakyat secara menyeluruh apabila membuat sesuatu dasar. Tentu pihak pengurusan Gunung Kinabalu menitik berat perkara kelestarian alam semulajadi terpelihara dan keselamatan pendaki. Tapi, dalam masa yang sama, dengan sedikit kelonggaran kepada atlet yang ingin membuat latihan ia bakal memberikan manfaat yang lebih kepada rakyat. Tentunya malim gunung juga akan mendapat lebih banyak tempahan dan peningkatan hasil kutipan permit akan meningkat kerana atlet ini tidak akan bermalam di Panar Laban (bilangan pendaki lebih tinggi).

 

  • Sebagai contoh lain, ramai pelari denai (trail runner) terpaksa menghabiskan masa berminggu-minggu di luar negara untuk membuat latihan altitud sebelum memulakan perlumbaan. Begitu juga ketika saya membuat persediaan untuk mendaki Gunung Manaslu 8163m (ke-8 tertinggi) dan Gunung K2 8611m (ke-2 tertinggi), saya terpaksa ke negara Iran untuk membuat latihan altitude. Di sana saya boleh mendaki gunung melebihi 5000m berkali-kali dalam beberapa hari. Jika Gunung Kinabalu dibenarkan untuk membuat latihan begini, ia akan memudahkan ramai atlet negara untuk berkembang lebih jauh.

 

  • Sebagai kesimpulan, kami memohon agar diwujudkan satu lagi kategori permit untuk mendaki Gunung Kinabalu iaitu khas untuk pelari denai dan pendaki membuat latihan supaya sukan ini akan berkembang lebih jauh diperingkat tertinggi dunia