KENYATAAN AKHBAR

 

PENDAKI JOHOR BANGGA MENGIBAR BENDERA NEGERI JOHOR DI PUNCAK GUNUNG K2 UCAP SEMBAH TAHNIAH PERLANTIKAN SULTAN JOHOR SEBAGAI YANG DI-PERTUAN AGONG

 

Pendaki asal Pontian Johor, Mohd Khafiz bin Bachok berbangga mengibar bendera Johor di puncak Gunung K2, 8611 meter dari aras laut, gunung kedua tertinggi di dunia pada 27 Julai 2023. Lebih manis, pendakian Mohd Khafiz bermula dengan berbasikal dari Tanjung Piai, Johor menuju ke Pakistan untuk mendaki Gunung K2 yang turut dikenali sebagai gunung yang paling merbahaya di dunia. Perjalanan pendakian Gunung K2 dinamakan ”Zeroto8000” kerana Mohd Khafiz bermula tanpa sebarang sokongan, tajaan, dan kayuhan basikal bermula dari kosong meter dari aras laut di Tanjung Piai untuk mendaki gunung melebihi 8000 meter.

Mohd Khafiz dan warga Zeroto8000 ingin merafak sembah ucapan tahniah atas perlantikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17. Semoga Malaysia menjadi negara yang lebih disegani dan maju di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Kami berdoa semoga Allah SWT melimpahkan Kebawah Duli Tuanku dan Tuanku Raja Permaisuri serta ahli-ahli keluarga dengan taufik dan hidayah, dipanjangkan umur, kesihatan yang baik dan sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.