1. KENYATAAN SOKONGAN KEPADA MALIM GUNUNG PERHUTANAN DAN SARANAN DARI ZEROTO8000

 

  1. Sukacita kami ingin perkenalkan ZEROTO8000 sebagai sebuah organisasi yang mempunyai objektif ingin memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mencapai impian dengan menggunakan platfom aktiviti mendaki sebagai medium. Selain itu ZEROTO8000 bertujuan untuk mempromosikan aktiviti mendaki yang fokus kepada pendakian di altitud tinggi dengan cara memberikan kesedaran dan menyampaikan ilmu tentang pendakian terutama berkenaan keselamatan.

 

  1. Oleh yang demikian, kami ingin menyatakan sokongan kepada langkah yang di ambil oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia iaitu mewujudkan Malim Gunung Perhutanan yang juga selari dengan objektif ZEROTO8000. Kenyataan sokongan ini berikutan timbul polemik kebelakangan ini di mana terdapat pihak yang mempersoalkan Malim Gunung Perhutanan. Kami berpendapat bahawa Malim Gunung Perhutanan dapat mempromosikan aktiviti mendaki, menjadikan ia lebih selamat dan membantu membawa kegiatan mendaki ke arah peringkat yang lebih tinggi.

 

4. Kami berpendapat bahawa aktiviti mendaki adalah seperti berikut:

  • Mendaki ialah aktiviti sihat yang memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat Malaysia. Ia termasuk menjadikan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup sihat, membina jatidiri dan modal insan yang berkualiti, menjadikan pendaki individu yang mempunyai semangat keazaman daya juang yang tinggi dan pelbagai manfaat lain yang sangat bagus. Secara tidak langsung ia meningkatkan kualiti hidup rakyat, meningkatkan produktiviti secara am, menjadikan rakyat lebih sihat yang akhirnya memberikan manfaat yang besar kepada negara.

 

  • Dari segi manfaat ekonomi, mendaki mencipta peluang pekerjaan seperti Malim Gunung Perhutanan, peluang perniagaan seperti operator/penganjur aktiviti, menyokong ekonomi setempat seperti gerai makanan, inap desa dan perkhidmatan pengangkutan dan ia mencipta peluang perniagaan barangan dan peralatan mendaki. Jika diamati, pelbagai perniagaan peralatan mendaki kini berada dalam pasaran yang dipacu oleh perkembangan aktiviti mendaki. Manfaat ekonomi ini memberikan kesan yang besar kepada negara.

 

  • Aktiviti mendaki mengembangkan sektor pelancongan domestik yang juga membawa kepada manfaat ekonomi kepada negara.

 

  • Aktiviti mendaki juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga persekitaran dan alam semulajadi. Rata-rata pendaki lebih cakna dengan kebersihan persekitaran, sentiasa membuang sampah dengan cara yang betul dan mempunyai kesedaran tinggi dengan pemeliharaan alam semula jadi. Kesedaran alam sekitar memberikan manfaat besar kepada negara.

 

  • Aktiviti mendaki mengeratkan hubungan keluarga dan memperkukuhkan institusi kekeluargaan kerana setiap ahli keluarga boleh menjalankan aktiviti bersama termasuk anak kecil. Ia membina kerjasama dalam pasukan dan menghubungkan jaringan dikalangan pelbagai ahli dalam masyarakat. Ia juga memberikan kebaikan kepada negara.

 

5. Berikutan pelbagai polemik timbul dalam sinario aktiviti mendaki, kami ingin memberikan

saranan seperti berikut:

  • Malim Gunung Perhutanan mesti disokong dan diteruskan malah perlu dipertingkatkan supaya ia lebih meluas sebagai sistem sokongan kepada aktiviti mendaki yang membawa banyak kebaikan kepada negara. Kemahiran dan kecekapan boleh dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Kami mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dengan inisiatif ini.

 

  • Polemik yang timbul adalah berikutan kos mendaki yang semakin tinggi. Ia membebankan ramai pendaki dan akhirnya menguncupkan perkembangan aktiviti mendaki yang memberikan pelbagai manfaat kepada negara. Kami ingin memberikan saranan supaya Kawasan hutan/denai yang diwajibkan untuk menggunakan khidmat Malim Gunung Perhutanan dikurangkan. Walaupun objektif Malim Gunung Perhutanan adalah untuk memandu pendaki demi memastikan keselamatan, ia boleh diurus dengan cara lain seperti mewujudkan papan tanda arah yang jelas, memasang tali keselamatan di tempat yang bahaya dan pelbagai fasiliti lain yang boleh meningkatkan ciri keselamatan. Dengan cara ini pendaki mempunyai pilihan samaada menggunakan servis Malim Gunung Perhutanan atau tidak bergantung kepada pengalaman masing-masing. Sudah tentu mereka yang tidak berpengalaman akan menggunakan servis Malim Gunung Perhutanan secara sukarela. Servis Malim Gunung Perhutanan boleh ditumpukan ke denai yang lebih panjang/jauh atau lebih berisiko. Ia dapat mengurangkan beban kos pendakian disamping dapat menggalakan perkembangan aktiviti ini.

 

  • Walaupun kemalangan mungkin berlaku, ia boleh dikurangkan dengan pelbagai ciri keselamatan yang dipasang dan ia tidak dapat dielakkan seratus peratus. Jika dibandingkan dengan jalanraya, ia lebih berisiko dan pelbagai kemalangan berlaku. Tapi ia hanya dapat dikurangkan dengan cara meningkatkan kesedaran dan pengetahuan di samping pelbagai ciri keselamatan.

 

  • Polemik ini juga harus diimbangkan dengan objektif Jabatan Perhutanan untuk menjaga alam sekitar. Isu alam sekitar seharusnya diselesaikan dengan memberikan kesedaran kepada pendaki. Rata-rata pendaki mempunyai tahap kesedaran lebih tinggi berkenaan kebersihan alam sekitar. Jika dibandingkan tahap kesedaran rakyat terhadap alam sekitar pada sepuluh atau dua puluh tahun lepas, rata-rata denai hutan kini lebih bersih. Ia menunjukkan tahap kesedaran terhadap alam sekitar tidak membimbangkan kecuali beberapa kes terpencil. Selain itu, untuk menjaga keadaan denai, bilangan pendaki boleh ditetapkan dalam bilangan tertentu supaya cerun tidak rosak dan memberikan kesan tidak baik kepada alam sekitar.

 

  • Polemik ini juga timbul berikutan kos permit yang membebankan kerana lebih banyak denai kini diwajibkan bayaran permit. Kami berpendapat, oleh kerana aktiviti mendaki membawa banyak kebaikan kepada negara, kerajaan harus memberikan sokongan kepada aktiviti ini. Sama seperti aktiviti sukan lain, kerajaan seharusnya mengenakan caj yang sangat minimum atau tidak mengenakan sebarang bayaran demi menyokong aktiviti ini. Pelbagai negara tidak mengenakan bayaran permit kerana menyokong aktiviti sihat ini. Jumlah pendapatan kepada negara melalui bayaran permit, boleh diimbangkan dengan manfaat lain iaitu ekonomi, kadar kesihatan dan produktiviti rakyat yang meningkat hasil aktiviti mendaki seperti yang dijelaskan di atas. Selain itu, proses permohonan permit juga harus ditambah baik dengan segera kerana ia sangat menyusahkan. Perkara ini telah berlarutan sekian lama. Hanya beberapa Jabatan Perhutanan yang telah meningkatkan sistem permohonan permit kepada lebih baik.

 

6. Secara umum, kesedaran, pengetahuan dan kemahiran pendaki harus ditingkatkan untuk mengatasi pelbagai masaalah yang timbul seperti keselamatan dan isu alam sekitar. Dengan memberikan pendidikan yang baik, ia memberikan manfaat yang lebih besar dalam jangka panjang. Ia boleh dilakukan dengan menyebarkan kempen keselamatan dan kesedaran alam sekitar secara online atau offline, menyebarkan risalah berkenaan keselamatan dan alam sekitar kepada setiap pendaki yang memohon permit, menganjurkan kursus pendakian dan pelbagai cara lain untuk meningkatkan pengetahuan kepada semua. Dengan pengetahuan dan kesedaran, ia membawa manfaat lebih besar dalam jangka panjang kerana ia dapat di praktik dalam kehidupan seharian.

 

7. Kami juga berpendapat bahawa perkara ini mesti dilihat dan diurus secara makro dengan mengimbangi manfaat dan kebaikan mendaki kepada negara. Selain itu, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dengan kerjasama pelbagai pihak seharusnya mengambil peluang mempromosikan produk mendaki kepada pelancong asing. Selain mendapat manfaat ekonomi kepada negara, ia dapat meluaskan peranan Malim Gunung Perhutanan.

 

8. Pandangan dan saranan kami adalah bersifat umum dengan harapan kegiatan mendaki semakin berkembang dan memberikan manfaat kepada rakyat dan negara. Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia atas inisiatif yang dilakukan untuk mengembangkan aktiviti mendaki

 

Sekian, Terima Kasih.

Mohd Khafiz bin Bachok