Gunung tanpa bahaya adalah bukan gunung. “Mountain without danger is not a mountain” Kata-kata ini
sering digunakan oleh pendaki untuk memberikan justifikasi dalam aktiviti mereka. Tapi benarkah kita
perlu berserah menghadapi keadaan bahaya. Kemalangan dan bencana alam boleh berlaku bila-bila masa tanpa sebarang amaran. Namun risiko ini boleh diuruskan dengan pelbagai persediaan dan kemungkinan besar ia boleh dielakkan. Dalam mendaki, kejayaan untuk sampai puncak atau destinasi adalah pilihan (optional) tapi pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat adalah mandatori. Malangnya pelbagai kejadian berlaku kepada pendaki hingga kehilangan ahli keluarga. Pada tahun 2023 sahaja sekurangnya empat orang pendaki rakyat Malaysia meninggal dunia ketika mendaki di altitud tinggi dan kebanyakannya mendaki di Himalaya.

 

Keadaan bahaya di pergunungan dalam kondisi alpine berbeza dengan pergunungan hutan hujan seperti
di Malaysia. Kemalangan yang berlaku di pergunungan di Malaysia boleh terjadi atas faktor bencana alam seperti tanah runtuh, banjir, panahan petir, pokok tumbang dan lain-lain. Selain itu kemalangan juga berlaku atas faktor manusia seperti sesat, hilang tenaga tidak bermaya, dehidrasi, kejang otot, hipotermia, cedera dan mungkin juga faktor penyakit sedia ada seperti sakit jantung. Mendaki di altitud tinggi mempunyai bahaya yang berbeza. Antaranya ialah terkena gejala sindrom akut gunung (acute mountain sickness AMS) iaitu penyakit yang boleh terkena kepada mereka yang berada di altitud melebihi 2500 meter dari aras laut dan terbahagi kepada tahap awal dan berisiko tinggi. AMS mempunyai simtom tidak khusus. Gejala awal ialah pening kepala, loya, sakit perut, hilang selera makan, keletihan dan sukar untuk tidur. Gejala ini berbeza bagi setiap pendaki. AMS pada tahap berisiko tinggi (severe) boleh menyebabkan kematian. Pendaki juga terdedah kepada penyakit yang lebih bahaya iaitu Edema serebral altitud tinggi (HACE) dimana berlaku kebocoran cecair di saluran darah yang menyebabkan otak menjadi bengkak danmengakibatkan sakit kepala yang teruk, halunisasi, hilang keseimbangan badan, koma dan kematian. Selain itu Edema pulmonari altitud tinggi (HAPE) juga boleh berlaku iaitu paru-paru membengkak akibat kekurangan oksigen.

 

Selain penyakit AMS, HAPE dan HACE, bahaya lain di altitud tinggi lebih banyak berbanding di hutan hujan seperti Malaysia. Mendaki di kawasan bersalji dan sejuk melampau boleh menyebabkan hipotermia iaitukeadaan badan kehilangan haba lebih cepat berbanding badan menghasilkan haba. Suhu badan turun mendadak akan menyebabkan menggigil, keletihan, keliru, koma dan kematian. Keadaan sejuk melampau dan kekurangan oksigen juga mengakibatkan gigitan salji (frostbite). Lebih parah frostbite akan mengakibatkan gangren, jangkitan kuman dan berkemungkinan anggota badan terpaksa dipotong. Penyakit lain yang biasa terkena kepada pendaki ialah buta salji (snowblind) iaitu keadaan sakit mata yang diakibatkan terdedah kepada sinar UV yang tinggi. Pendaki yang terkena snowblind tidak dapat melihat seperti biasa dan menyukarkan untuk meneruskan perjalanan.

 

Mendaki di altitud tinggi mempunyai risiko semulajadi yang lebih tinggi. Runtuhan salji (avalance) adalah bahaya yang sering berlaku terutama selepas salji turun dengan lebat selama beberapa hari. Pendaki boleh cedera parah akibat hentaman salji runtuh dan juga mungkin tertimbus dan lemas di dalam salji. Runtuhan batu juga sering berlaku di kawasan batuan terutama ketika cuaca agak panas. Pergunungan di altitud tinggi terdedah kepada angin kuat yang menyukarkan pendakian dan boleh mengakibatkan frostbite kerana sejuk melampau. Keadaan salji yang turun ditambah dengan angin akan membentuk rebut salji. Ribut salji boleh mengakibatkan suhu turun mendadak, sejuk melampau dan jarak penglihatan yang terhad membahayakan pendaki.

 

Keadaan muka bumi gunung yang curam serta dipenuhi salji dan ais menyebabkan pendaki berisiko jatuh kerana keadaan licin dan tiada tempat berpaut. Salji licin memungkinkan pendaki menggelongsor jatuh dan menghempas batu dan ais. Keadaan sungai salji dan ais iaitu glasier yang bergerak dan bergesel antara satu sama lain membentuk rekahan (crevasse) atau jurang yang merbahaya. Sesetengah crevasse boleh terjadi sedalam 50 meter dan tentu merbahaya sekiranya pendaki terjatuh. Pergerakan dan geseran ais di glasier juga membentuk timbunan ais yang tinggi dan boleh runtuh pada bila bila masa.

Kesemua perkara di atas merupakan bahaya yang terdapat di pergunungan beraltitud tinggi. Pendaki yang kurang berpengetahuan dan tidak membuat persediaan amat berisiko tinggi semasa mendaki. Kesemua bahaya dan risiko ini boleh diatasi atau dikurangkan sekiranya pendaki mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman. Walaupun malang tidak berbau, mungkin saja ia boleh berlaku tapi tanpa pengetahuan yang baik tentu meningkatkan peluang kemalangan berlaku. Sebagai contoh, gejala sindrom akut gunung AMS, HAPE dan HACE boleh dielakkan dengan proses aklimatisasi yang sesuai iaitu dengan menyesuaikan diri dengan altitud tinggi. Disebabkan simtom AMS berbeza bagi setiap pendaki, proses aklimatisasi juga perlu disesuaikan. Contohnya pendaki A akan mula terkena simtom AMS di ketinggian 4000 meter dari aras laut manakala pendaki B hanya terasa simtom pada ketinggian 5000 meter dari aras laut. Jadi proses aklimatisasi bagi kedua pendaki ini berbeza dan perlu disesuaikan mengikut jadual pendakian. Pendaki mesti mengenali keadaan badan sendiri dan cuba membuat perancangan terbaik dalam pendakian.

Fasiliti dan banyaknya sumber maklumat memudahkan pendaki terutama dari Malaysia untuk meneroka lebih banyak tarikan di pergunungan Himalaya. Malangnya, kesilapan yang sering dilakukan pendaki ialah tidak merancang pendakian dengan betul. Seringkali pendaki melakukan trip pendakian yang terlalu singkat dengan tujuan menjimatkan kos akhirnya membahayakan diri sendiri. Ramai juga pendaki yang memberanikan diri mendaki sendiri hanya dengan mendapatkan maklumat dari internet dan sumber lain tanpa pemantauan mereka yang berpengalaman. Sikap ingin berjimat dan mendaki dengan kos yang murah mungkin membahayakan pendaki kerana biasanya jadual pendakian akan pendek, kurang rehat dan tidak mengikut program aklimatisasi yang betul. Sekiranya terkena sebarang simtom AMS semasa dalam pendakian, ramai yang membuat tindakan yang salah. Trend pendakian bersama penganjur yang kurang berpengalaman juga sangat merbahaya kerana sebarang kecemasan mungkin tidak diuruskan dengan baik.

 

Seringkali juga penganjur memberikan nasihat yang salah selain tidak membuat persediaan kecemasan.
Ramai juga pendaki yang tidak mempunyai kemahiran teknikal dalam pendakian. Peralatan dan pakaian juga kadangkala tidak sesuai kerana terlalu berjimat dan akhirnya membahayakan diri sendiri. Pendaki dinasihatkan agar mengetahui keupayaan diri sendiri pada setiap altitud dan mengenal simtom yang terjadi pada diri sendiri. Ia akan menjadi panduan pada tahap manakah pendaki perlu berehat, turun ke altitud yang lebih rendah atau membatalkan pendakian kerana keputusan ini amat penting demi keselamatan. Oleh yang demikian, tidak ada cara lain untuk mengelakkan kemalangan di altitud tinggi selain mendapatkan ilmu dan nasihat yang terbaik.

Oleh:
Khafiz Al Kicok
Pengasas Zeroto8000