Menghampiri pekan Kahang jalan mula ‘rolling’ naik dan turun, tapi keadaan jalan begini biasanya aku enjoy sebab seronok bila basikal meluncur laju waktu menurun bukit walau pun masa mendaki memang memenatkan.
Sampai di pekan Kahang “OiiI!! Kita makan dulu kat kedai rojak!! Lapar gila ni” aku jerit kepada Syafiz yang agak jauh di depan.
Aku terus belok disebuah warung yang agak famous dengan rojak, soto dan nasi ayam. Tak tunggu lama aku dah order dan terus makan. “Lapar weiii!! Dari tadi perut aku bergelodak. Aku rasa musang king kena cucuk dengan duri hitam ni dalam perut” Aku mengadu tak sedap perut.
Syafiz dan Mus nampak rilek je tak penat sangat. Mungkin sebab basikal mereka agak ringan berbanding basikal aku. Syafiz dan Mus merancang nak berkayuh satu hari sahaja ke Mersing dan balik semula dijemput dengan kereta. Aku dan Taufik akan teruskan kayuhan ke Pantai Timur. Jadi beban barang-barang aku lebih berat dan sudah tentu kayuhan aku lebih sukar berbanding Syafiz dan Mus.
Selesai mengisi perut, kami sambung kayuhan ke Kampung Sri Lukut melewati pintu masuk ke Taman Negara Endau Rompin. Ini antara tempat yang paling aku suka jelajah. Beberapa kali aku ke Taman Negara dan masih belum puas. Memandangkan jalan masuk ke Taman Negara perlu melalui jalan tanah merah sejauh 55km, memang tak mungkin aku singgah kali ini dengan basikal.
Sedang aku leka berkayuh, tiba-tiba aku ternampak dataran hijau di kanan jalan di balik pokok-pokok. Aku perhatikan apa sebenarnya tempat ni? Kawan-kawan lain dah lepas ke hadapan dan tidak boleh tanya mereka. Ada banyak pokok yang melindungi dataran hijau itu, jadi kalau tidak diperhatikan betul-betul memang tak perasan.
“Oiii jom singgah sini!! Lawa tempat ni!!” aku jerit kepada yang lain di hadapan. Rupa-rupanya sawah padi!! “Aikk bila pulak ada sawah padi kat Johor?” Rupa-rupanya bila aku check di internet memang ada beberapa kawasan sawah padi di Johor. Aduhh aku yang anak jati Johor pun tak tau.
Ingatkan selama ni aku makan beras Kedah je rupanya di sini pun ada.
Tanpa berlengah aku belok dan masuk kawasan sawah. Tapi Syafiz, Mus dan Taufik dah semakin jauh ke depan. “Ahhh biarlah, nanti dia tunggu kat mana-mana”. Aku tak peduli, sawah ni memang cantik. Luas membentang hijau menakjubkan. Kelihatan banyak bangau mencari makanan.
Aku duduk termenung di tepi batas menikmati suasana yang jarang-jarang aku jumpa. Ikutkan hati, aku nak buka khemah dan bermalam di sini tapi jam masih terlalu awal untuk aku hentikan kayuhan hari ni. Lagi pun kawan-kawan lain dah hilang entah ke mana.
Terpaksa meninggalkan kawasan sawah, aku mengayuh perlahan di bawah panas terik matahari. Jalan bengkang bengkok dengan pemandangan hutan tebal, kadang-kadang terasa takut kalau ada gajah melintas. Kawasan ini memang terkenal dengan gajah dan tapir malah ada yang pernah lihat harimau di tepi jalan.
“Ni kalau kena kejar gajah ni macamana nak kayuh laju-laju dengan basikal macam ni?” Aku mula ragu-ragu tapi tetap memutar kaki tanpa henti.
Agak lama aku berkayuh berseorangan, tiba-tiba aku nampak kawan-kawan lain sedang menunggu di tepi jalan. “Fuhhh lega”. Nasib baik mereka tunggu aku. Kami berehat di bawah lindungan redup pokok melepaskan lelah.
Tak jauh di hadapan adalah simpang Jemaluang-Felda Nitar. Di tepi simpang ini ada gerai buah-buahan dan paling best ada air kelapa. Peluang baik menghilangkan haus akibat matahari panas terik di atas kepala. Kami berehat lama. Waktu begini barulah ada masa nak berborak. Macam-macam cerita keluar. Durian yang dalam perut dari pagi tadi pun “keluar”.
Waktu berbasikal memang tak boleh berbual walaupun sama-sama berkayuh. Kebanyakan masa kami berpisah mengikut kelajuan kayuhan masing-masing. Walaupun berdekatan agak susah kalau nak berbual menghilangkan bosan. Jadi lebih fokus kepada kayuhan dan menikmati pemandangan.
Memasuki Felda Nitar, sekali lagi berhenti disebuah stesen minyak kecil. Stesen minyak ini agak selesa sebab ada ruang rehat berbumbung dan ada meja serta kerusi. Syafiz basahkan seluruh kepala dan badan. Panas sangat katanya. Jauh lagi ni nak sampai Mersing. Panas terik tak boleh bincang. Lepas ni jalan semakin terbuka tanpa pokok melindungi panas matahari. Semua ladang sawit sepanjang jalan.
Aku ambil peluang solat zohor dahulu sementara yang lain masih berehat. Kemudian kami teruskan lagi kayuhan.
Itulah rutin aku. Umpama kaki berkayuh, lepas kaki naik kemudian turun dan berputar tanpa henti. Begitu juga perjalanan ini, berkayuh, penat berhenti kemudian berkayuh lagi dan seterusnya hingga sampai destinasi.
Aku selalu jadikan kayuhan sebagai sumber motivasi dalam pekerjaan dan kehidupan. Selagi belum sampai tujuan, kita akan terus memutar kaki, penat berhenti dan sambung lagi.
Cita-cita aku tinggi, boleh kata hampir separuh umur aku dambakan untuk impian ini. Kadangkala penat aku berhenti, kemudian aku sambung semula. Aku harap kayuhan ini akan membawa aku lebih dekat dengan destinasi aku.
Nota: ini adalah kisah pengembaraan berbasikal dari Tg Piai ke Pakistan untuk mendaki Gunung K2.
#khafizalkicok
#zeroto8000
#malaysiaberdikari
#GemuruhJiwa
#bukuzeroto8000
#zeroto8000buku