Suasana malam dingin dengan hiburan bunyian unggas dan serangga memang waktu terbaik untuk memejamkan mata. Taufik dah terbujur kaku dalam hammock. Tinggal aku terkebil-kebil sambil menghalau nyamuk. Mungkin akibat durian dan kambing bakar, aku hanya dapat lelap beberapa minit ketika waktu sudah hampir subuh.
Pagi tu aku bangun dengan badan yang sengal kerana tak cukup rehat. Sebenarnya di kebun Syafiz malam tu kami ditemani juga oleh Rosman dan Mus. Belum sempat aku bangun aku Nampak Rosman, Mus dan Syafiz bersiap dengan lampu suluh.
“Oii!! Cepat betul nak pungut durian. Gelap lagi ni!” aku tegur Syafiz dan ketika itu baru je sayup-sayup kedengaran azan subuh.
“Kena cepat! Nanti ada monyet kepala hitam rembat dulu. Melepas kita nak makan durian” Jawab Syafiz. Memang di kampung ini ramai pencuri berkeliaran terutama waktu musim durian. Mana tak nya durian kawin sekarang dah RM25 sekilo
Rosman dan Mus hilang di balik semak bersama Syafiz. Aku lebih selesa dalam selimut walaupun tak dapat tidur. Subuh sejuk macam ni memang kena semangat jihad baru bole bangun amik air semayang dari bekas tadahan air hujan. Selang beberapa minit aku tukar fikiran, sebelum diaorang balik dengan durian baik aku solat dulu.
Segera aku bangun amik wuduk style P.Ramlee dan terus selesaikan benda wajib dulu. Tanpa sempat beri salam kedua terus aku terpa durian yang dah berlonggok depan pondok. Aku memang berubah jadi hantu mak limah kalau nampak durian.
“Tak banyak durian pagi ni. Ni baru minggu kedua durian luruh. Biasa awal-awal musim ni memang tak banyak yang gugur” Syafiz sebagai tuan kebun jelaskan. “Cukup lah ni. Kita empat orang je, ni pun banyak ni kalau nak habiskan” Aku cuba bermanis kata padahal dalam hati lagi banyak lagi bagus.
Puas melantak durian kitaorang cepat-cepat berkemas tak mahu kesiangan baru nak mulakan kayuhan. Padahal sengal kaki lepas kayuhan semalam belum hilang lagi, tapi biasalah, nanti dah mula berkayuh hilanglah sengal kaki.
Kayuhan hari ni akan disertai oleh Syafiz dan Mus. Jam 9:30 pagi kami mula keluar dari kawasan kebun masuk ke jalanraya.
Aku memang suka kalau berkayuh pagi-pagi, udara sejuk segar dan kabus pun masih kelihatan. Jalan sekitar Felda Kahang ni memang best, banyak kebun sayur dan dusun. Aku selalu bosan kalau pemandangan ladang sawit, tapi pagi ni berbeza.
Jalan ini sempit sikit, kalau ada kereta dari arah belakang terpaksa menunggu kenderaan dari depan clear dulu baru boleh memotong. Sedang seronok berkayuh, sebuah kereta memotong sambil hon Panjang.
“Adoi!! aku menyampah betul kalau jumpa driver yang jenis baran ni. Kalau setakat hon takpe, buatnya dia himpit basikal memang naya!!” Jerit aku kepada Taufik di belakang.
Kalau hendak berbual ketika berkayuh memang kena menjerit baru orang belakang dapat dengar.
Tak jauh lepas tu aku nampak kereta tadi berhenti tepi jalan dan drivernya keluar tahan basikal aku. Nak gaduh pulak ke brader ni? Aku memang tidak gemar bergaduh dengan pembuli jalan raya.
“Oiii Kicok!!” Jerit lelaki berbaju putih yang keluar daripada kereta tadi. “Laaaaaa! Kau rupanya Ady!! Aku ingat samseng mana tadi nak langgar aku” Jawab aku.
Ady kawan lama semasa sekolah menengah memang duduk Kluang. Tapi sejak habis sekolah 25 tahun lepas memang tak pernah jumpa si Ady ni. Tak sangka boleh jumpa tepi jalan.
Matahari semakin terik. Sudah hampir dua jam berkayuh masih tak jumpa port best hendak berehat. Kalau ada warung tepi jalan memang best ni. Sebenarnya perut aku dah mula lapar sebab sarapan tadi durian yang berlonggok tadi yang masuk perut.
Tapi sebab kawasan kayuhan hari ni memang favourite aku, jadi agak leka dengan kayuhan. Tahun lepas aku pernah berbasikal dengan Syafiz di laluan ini untuk ke Tanjung Leman.
Banyak hutan kiri kanan jalan dan tiada kedai sepanjang jalan ini. Pagi ini tidak banyak kenderaan. Cuma jalan agak sempit jadi kalau ada lori besar memang agak menakutkan.
bersambung..
Nota: ini adalah kisah pengembaraan dari titik zero di Tg Piai Johor menuju ke Pakistan untuk mendaki puncak 8000meter dari aras laut.
#zeroto8000
#khafizalkicok
#malaysiaberdikari
#bukuzeroto8000